"Dadah hampir membunuh diri saya. Suatu ketika, ia menjahanamkan hampir keseluruhan hidup saya,” itulah kata-kata Mamat pada pertemuan dengan Mega baru-baru ini..
Dalam temu bual Mega bersamanya, memang jelas kelihatan betapa sesalnya Mamat kerana pernah menjadi hamba yang ‘gigih’ terhadap najis itu. Seorang artis yang bakatnya mula mencuri perhatian masyarakat semenjak usia kecil lagi, penyanyi
Untukmu Ibu ini sendiri memusnahkan masa depannya gara-gara tersilap langkah. Bak kata orang badi dadah ini sukar untuk dipisahkan jika tidak dilakukan dengan kesungguhan hati. Bagi Mamat atau Mohd. Ali Kamarudin, 36, yang pernah terjerumus, belum terlewat untuknya kembali ke pangkal jalan.
Kalau diberi pilihan untuk kembali ke masa lampau, pasti saya mahu melakukannya bagi menebus segala dosa yang pernah saya lakukan akibat leka dengan khayalan benda jahanam itu. Tapi seperti kata pepatah, semuanya sudah terlambat tetapi saya yakin belum terlewat untuk saya mencorak kehidupan baharu. “Sebagai orang yang pernah terjebak dalam dunia gelap itu, saya benar-benar menyesal kerana dadah membuatkan saya hilang segala-galanya yang berharga, terutamanya keluarga.
Rumah tangga saya berkecai, isteri dan anak-anak entah ke mana. Sewaktu saya khayal dengan dadah, insan tersayang sering saya abaikan. Sekarang ini kalau menangis air mata darah sekalipun, tak mungkin saya dapat menebus apa yang telah berlaku,” katanya penuh sebak.
Biarpun ada yang berpandangan sinis terhadap azam Mamat, penyanyi itu tidak kisah kerana sebagai insan dia juga mahu diberi peluang kedua untuk membina hidup baharu.
0 ulasan:
Catat Ulasan